The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Cara Mandi Rasulullah S.A.W

Setiap hari kita mandi membersihkan diri. Alangkah cantiknya andai mandi kita mencontohi mandinya Rasulullah S.A.W. Selain dari kita mendapat pahala sunnah, pasti ada hikmah kebaikan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Dan kita juga menginginkan cintanya Allah kepada kita.

Allah S.W.T berfirman;

Wahai Nabi, katakanlah kepada mereka, “Jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku. Allah pasti akan mencintai kamu dan mengampuni semua dosamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.[Ali-Imran ayat 31]

Cara mandi Rasulullah S.A.W

Cara Pertama

Mencuci tangan dan memulakan dari bahagian kepala. Daripada Jubair bin Muth’im R.A berkata,

Kami saling membincangkan tentang mandi janabah di sisi Nabi S.A.W, lalu Baginda bersabda“, “Saya mengambil dua telapak tangan tiga kali lalu saya siramkan di kepalaku, kemudian saya tuangkan setelahnya pada semua tubuhku.[Hadis Riwayat Imam Ahmad]

Mandi Janabah = Mandi wajib @ mensucikan diri dari hadas besar

Cara Kedua

Mencuci tangan, memulakan dengan berwudhu, kemudian membasuh kepala dan seterusnya seluruh anggota badan.

Daripada Sayyidatina Aisyah R.A, “Bahawa jika Nabi S.A.W mandi junub, Baginda memulainya dengan mencuci dua tapak tangannya, kemudian Baginda berwudhu sebagaimana wudhu untuk solat. Lalu Baginda memasukkan jari-jarinya ke dalam air dan menggosokkan ke kulit kepalanya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepalanya dengan cedokan kedua tapak tangannya sebanyak tiga kali. Kemudian Baginda mengalirkan air ke seluruh kulitnya.[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Cara Ketiga

Membersihkan tangan, mencuci kemaluan dengan tangan kiri, berwudhu, membasuh kepala kemudian membersihkan seluruh badan. Dalam petikan hadis yang disampaikan oleh Ibnu Abbas yang diceritakan oleh Sayyidatina Maimunah R.A bahawa Nabi S.A.W mencuci kemaluannya dengan tangan kirinya sebelum Baginda berwudhu dalam mandinya. [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani, tujuan Baginda mencuci tangan terlebih dahulu ialah untuk membersihkan tangan daripada kekotoran, juga kerana mandi tersebut dilakukan setelah bangun dari tidur, yang kita tidak tahu dimanakan ia diletakkan ketika sedang tidur.

Sumber:
  • Al Fadhil Ustaz Jafri ibn Abu Bakar al-Mahmoodi, Kuliah Dhuha Kitab Hidup Dalam Sunnah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam

 

%d bloggers like this: