The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Contohi Sifat Rasulullah Agar Rumah Tangga Bahagia

Kebelakangan ini terdapat banyak perbincangan mengenai isu keganasan rumah tangga sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di media massa. Hal yang demikian tidak lain dan tidak bukan adalah kerana berlakunya peningkatan kes keganasan rumah tangga di Malaysia khususnya. Dimanakah silapnya?

Masalah atau konflik dalam kehidupan sehari-hari adalah sebuah lumrah. Sebagai manusia biasa, hal yang demikian juga dialami oleh Rasulullah SAW sendiri bersama para isteri Baginda. Tapi yang penting, bagaimana kita hadapi permasalahan tersebut.

Oleh itu, untuk artikel kali ni, kami akan berkongsi beberapa sifat atau cara Rasulullah  SAW dalam menghadapi masalah dalam rumah tangga.

 

Menghadapi Marah Dengan Senyuman Dan Gurau Senda

Rasulullah SAW terkenal dengan sikapnya yang tegas terutamanya apabila berkait dengan hal agama. Tapi dalam rumah tangga, Baginda sering menghadapinya dengan kasih sayang berupa senyuman, malah dengan gurau senda juga. Pernah satu ketika Rasulullah mencubit hidung isterinya iaitu Aisyah ketika dia marah dan baginda berkata: Wahai Aisyah, bacalah doa, “Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku, dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan.” (Hadis Riwayat Ibnu Sunni) 

 

Mengambil Hati Dan Menghiburkan

Rasulullah SAW juga pandai mengambil hati dan menghiburkan hati isteri Baginda. Sewaktu isterinya dalam kedukaan, Baginda hadir menghiburkan hati, mengubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah RA yang bermaksud: “Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Saling Bertolak Ansur Sesama Sendiri

Pasangan suami isteri yang saling memahami dengan mengamalkan sokap tolak ansur akan dapat menangani krisis rumah tangga lebih baik. Pasangan yang mengikut sunnah bukan sahaja boleh bergurau ketika ceria, juga boleh bersabar dan saling memaafkan ketika berlakunya perbalahan. Pasangan suami isteri perlu memahami peranan masing-masing dalam institusi perkahwinan yang dibina. Pastikan sentiasa berkomunikasi sesama sendiri dalam apa jua keadaan. Rasulullah SAW walau sibuk bagaimana sekalipun, Baginda tetap ada waktu untuk bergurau dan berbual-bual dengan isteri Baginda.

 

Saling Membantu Sesama Sendiri

Rasulullah SAW sering menasihati suami sebagai ketua keluarga supaya melayani isteri dengan sebaik-baiknya. Dan sebaiknya begitulah juga buat para isteri. Diriwayatkan dari Aisyah RA yang bermaksud: “Aku pernah melihat Rasulullah SAW menaungi aku dari terik matahari dengan kain serban Baginda sendiri, kerana pada ketika itu aku sedang asyik menonton orang-orang Habsyah sedang membuat pertunjukan di masjid, akhirnya aku berasa jemu melihat permainan tersebut.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Sering Memuji dan Mencium Isteri

Rasulullah SAW gemar memuji isterinya dengan panggilan-panggilan yang romantis. Contohnya, nama yang sering Baginda guna apabila memanggil isterinya iaitu Aisyah, ‘Ya Aish’ yang bermaksud  ‘Kehidupan’ atau ‘Ya Humaira’ yang bermaksud ‘Wahai si putih kemerah-merahan atau mawar merah’.

Selain itu Rasulullah juga suka mencium isterinya sebagai contoh, sebelum keluar untuk solat. Diriwayatkan dari Aisyah RA yang bermaksud: “Nabi SAW mencium sebagian isterinya kemudian keluar menunaikan solat tanpa berwudhu dahulu.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Cium sahaja isteri bila-bila masa dan itu adalah pahala yang paling mudah dikecapi dan seterusnya membahagiakan pasangan suami dan isteri.

 

Kesimpulannya, ambillah pedoman dan teladan daripada rumah tangga Rasulullah SAW kerana melaluinya dapat kita mengetahui cara Baginda mendekati isteri-isterinya dengan penuh berhikmah.

 

 

%d bloggers like this: