The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Mengapa Allah SWT Perintahkan Kita Supaya Membaca?

Ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW sebagai tanda baginda telah diangkat sebagai Rasul atau utusan Allah SWT adalah tentang seruan membaca. 

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang menciptakan .(1) Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. (2) Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, (3) Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. (4) Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)

Surah Al ‘Alaq, ayat 1-5

Kelima-lima ayat ini memberikan beberapa mesej yang jelas kepada manusia. Pertama, manusia diperintahkan supaya membaca, dan lebih penting, membaca dengan nama Tuhan yang menciptakan. Apa ertinya itu? Dalam fahaman mudah, manusia perlu membaca di dalam konteks bahawa ia menyedari dirinya  seorang makhluk tuhan yang serba jahil dan tidak tahu apa-apa. Proses penciptaan manusia yang bermula daripada pancaran air mani yang hina juga menunjukkan hinanya manusia pada awal proses penciptaannya. 

Selanjutnya, Allah SWT juga mengajarkan manusia dengan perantaraan kalam, atau pena. Pastinya dengan menulis, manusia dapat menemui dan menyusun ilmu pengetahuan yang diizinkan untuk manusia untuk mengetahuinya oleh Allah SWT. Nampak perkaitannya? Manusia yang asalnya hina perlu membaca di dalam kerangka kesedaran bahawa dirinya adalah makhluk yang diciptakan dan tidak tahu apa-apa tanpa diajarkan oleh Penciptanya.

Anda bersetuju jika saya nyatakan pada lima ayat ini terdapat rahsia pembinaan tamadun dan peradaban? Hujah saya adalah dengan kebolehan membaca dan seterusnya menulis, Allah SWT mengajarkan manusia menerusi penerokaan dan penemuan ilmu-ilmu yang berlaku sepanjang masa manusia wujud. Ilmu-ilmu tersebut kemudian ditulis dan dicatatkan di medium-medium yang pelbagai seperti batu, pelepah tamar, kulit kayu dan buku yang seterusnya digunakan oleh manusia dari zaman ke zaman untuk manusia membangunkan peradaban. 

Mengapa membaca dan tidak melakukan perkara-perkara lain? Sesungguhnya, inilah rahsia daripada lautan ilmu Allah SWT yang terlalu luas. Sebagai manusia, menggunakan aqal dengan dipandu wahyu Allah SWT, pandangan saya mengapa Allah SWT memerintahkan kita supaya membaca adalah kerana membaca adalah kaedah untuk kita belajar ilmu-ilmu yang telah ditemui oleh orang lain. Membaca juga adalah kaedah untuk kita dapat berkomunikasi dengan orang-orang yang telah menemui ilmu terlebih dahulu. Tranmisi dan penyebaran ilmu pengetahuan dapat dilakukan dengan baik menerusi proses penulisan dan pembukuan.

Jika kita melakukan tadabbur, pasti kita juga akan berfikir tentang bagaimana Allah SWT menurunkan wahyuNya menerusi Al Quran, sebuah kitab yang perlu diimani dan dijadikan panduan – namun semuanya perlu dimulakan dengan amalan membaca. Fikirkan juga bagaimana wahyu Allah SWT diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun kepada baginda Rasulullah SAW dengan ayat-ayat yang bersambungan atau berasingan sehingga akhirnya dihimpunkan menjadi sebuah kitab. Walaupun proses pengumpulan dan penghasilan mushaf Al Quran sebagaimana yang kita baca pada hari ini hanya berlaku selepas wafatnya baginda Rasulullah SAW, hasil akhirnya adalah sebuah kitab, atau bahasa mudahnya, buku. Kepada manusia, hanya ada suatu cara sahaja bagaimana manusia boleh mendapat manfaat daripada sesebuah buku atau kitab, iaitu dengan membacanya. 

Insan barangkali memandang proses membaca sebagai sesuatu yang enteng. Namun, membaca bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak proses yang melibatkan fungsi otak apabila kita membaca. Bermula dengan mengenali huruf dan perkataan, proses membaca seterusnya melibatkan pentafsiran, mengetahui makna perkataan, kepekaan terhadap struktur teks, membuat inferensi dan pelbagai lagi. Kerana akhirnya, apabila seseorang itu membaca, matlamat akhir ia membaca adalah untuk faham. Membaca juga memerlukan seseorang itu untuk mempunyai pengetahuan terdahulu dan daya ingatan bagi membolehkan kesemua proses tadi berfungsi. 

Pendek kata, membaca adalah proses yang membolehkan manusia menggunakan otaknya secara aktif. Sekiranya manusia malas membaca, maka otaknya semakin tidak digunakan secara aktif. Akibatnya, rugilah ia kerana dibandingkan dengan haiwan, manusia dianugerahkan otak dan aqal yang perlu digunakan untuk membezakan ia dengan ciptaan-ciptaan yang lain. 

Bagaimana manusia ingin menjadi pencipta-pencipta manfaat yang boleh digunakan oleh orang lain sekiranya otaknya tidak aktif digunakan? Bagaimana pula hendak aktif menggunakan otak sekiranya tidak diisi dengan maklumat, fakta, ilmu dan idea yang diperolehi daripada membaca? 

Saya berpandangan, proses membaca bermula dengan mengenali teks, huruf dan perkataan. Sebaik sahaja proses ini bermula, input-input yang masuk ke dalam otak kita akan mempengaruhi daya berfikir seseorang. Daya berfikir seseorang sangat penting dan kritikal bagi membolehkan manusia membuat keputusan dan pilihan di dalam hidupnya. Dengan membuat pilihan, maka terjadilah watak dan sikap kita yang kita pancarkan di dalam tingkah laku dan akhlak kita sehari-hari. Daya berfikir yang ada juga selanjutnya membuatkan kita mencipta dan menghasilkan manfaat-manfaat yang boleh dikongsi oleh orang lain. Maka pastinya ini menunjukkan bagaimana membaca akan membantu kita untuk menjadi seseorang yang lebih bermanfaat kepada orang lain di dalam hayat kehidupan yang sementara. 

Banyak manfaat yang boleh diperolehi oleh insan dengan membaca. Pada hemat saya, membaca akan memberikan manfaat-manfaat ini kepada manusia;

  1. Membaca menggerakkan minda dan mencerdaskan fikiran
  2. Membaca akan membantu membina perbendaharaan kata
  3. Membaca akan mengajar anda mempelajari budaya masyarakat lain
  4. Membaca membantu anda membina fokus dan tumpuan
  5. Membaca akan mempertingkat keyakinan diri
  6. Membaca akan mencetuskan sifat ingin tahu dan seterusnya menghidupkan budaya menuntut ilmu sepanjang hayat
  7. Membaca boleh memberikan hiburan kepada anda
  8. Membaca boleh mengelakkan kita daripada terjebak dengan aktiviti-aktiviti tidak bermanfaat
  9. Membaca boleh menjadi suatu bentuk terapi kepada diri

Banyak lagi manfaat dan kelebihan yang diperolehi dengan membaca. Jadi, kita perlu menjadikan amalan membaca sebagai sesuatu yang teras. Ubahlah paradigma kita tentang membaca. Membaca bukan sekadar satu amalan yang hanya perlu dilakukan untuk memenuhi maksud persekolahan atau pembelajaran formal; sebaliknya membaca adalah kaedah untuk manusia mendapat pelbagai manfaat di dalam kehidupannya, serta membolehkannya memberikan manfaat kepada orang lain.  

Paling penting, untuk mengelakkan pembacaan kita menjadi satu amalan yang tersia-sia,  bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Lihatkan bukti-bukti kebesaran Allah SWT yang nyata dan tersembunyi di dalam setiap perkara yang kita baca. 

Sumber:

  • Penulisan oleh Yusni Yussof. Yusni Yussof adalah seorang jurulatih bertauliah, perunding motivasi dan penulis. 
%d bloggers like this: