The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Islam Dah Cukup Mudah, Jangan Dimudahkan Lagi

Penjelasan:

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 185,

“Allah berkehendak untuk kamu kemudahan dan Allah tidak suka kepada hal-hal yang menyusahkan.”

Kalau kita melihat tuntutan yang ada di dalam agama, segalanya adalah perkara yang mudah. Bermula dari kewajipan Solat, yang asalnya bermula dari 50 waktu tapi dikurangkan menjadi 5 waktu sahaja. Ia tidak lain tidak bukan untuk memudahkan dan meringankan. Selain itu, bagi mereka yang tidak mampu berdiri ketika solat, diberi keringanan untuk duduk. Bilamana duduk pun tidak mampu, dibolehkan baring. Ini juga bahagian daripada keringanan yang Allah berikan.

Dalam hal Berwudhu’ (air sembahyang), bilamana tiada air, maka dibolehkan jika menggunakan tayammum. Dalam hal Zakat, bilamana tidak mampu untuk mengeluarkannya, maka tidak wajib untuk melakukannya. Dalam hal menunaikan Haji, meskipun ia sebahagian daripada rukun dan fardhu ain, bagi yang tidak mampu, tidak wajib melaksanakannya.

Demikian juga lah yang dikiaskan pada perkara yang lain-lain, yang telah ditetapkan di dalam agama. Secara dasarnya, prinsipnya adalah MUDAH.

Rasulullah S.A.W bersabada, yang membawa maksud:

“Ajarkan yang mudah, jangan ajarkan yang susah.”

Bilamana seseorang datang kepada Rasulullah dan bertanya, “ya Rasulullah, apakah yang diwajibkan oleh Allah kepada kami?” Jawab baginda, “Solat 5 waktu.” Ditanya lagi, “Apa ada lagi yang lain?” Rasulullah S.A.W menjawab, “Tidak. Kecuali kalau kamu hendak membuat perkara yang sunnah.”

Jika kita lihat cara Rasulullah S.A.W ini, jelas menggambarkan bahawa Rasulullah S.A.W ingin menunjukkan bahawa Islam ini cukup mudah. Sama juga ketika baginda ditanya tentang puasa, apa ada juga puasa selain di bulan Ramadhan. Jawab baginda, “Tidak ada puasa yang wajib selain di bulan Ramadhan. Kecuali jika kamu ingin melakukan yang sunnah.” Lagi sekali ditunjukkan perkara yang mudah.

Dan akhir sekali, ditanya pula kepada baginda tentang Haji, “ya Rasulullah, apakah haji ini diwajibkan setiap tahun?” Rasulullah S.A.W hanya diam. Ditanya lagi soalan yang sama namun Rasulullah S.A.W tetap diam sehinggalah ketiga kalinya, Rasulullah menjawab, “Kalau aku menjawab ya dan diwajibkan setiap tahun, kamu tidak akan mampu melakukannya.” Maka sebab itu baginda hanya senyap kerana ingin memberitahu bahawa Haji hanya diwajibkan sekali sahaja sepanjang hayat. Tidak seperti Solat yang setiap hari dan Puasa Ramadhan yang setiap tahun.

Dalam kisah yang ringkas ini, kita boleh lihat bahawa Islam itu sangat mudah. Segala yang ada di dalam agama itu adalah perkara yang mudah. Tetapi hal yang sudah mudah, janganlah pula dimudah-mudahkan lagi.

Glosari:

*Tayammum = Menyapu debu kemuka dan kedua tangan sampai ke siku, menggunakan debu yang suci dengan beberapa syarat.

*Fardhu Ain = Ilmu yang wajib dipelajari dan diamalkan oleh setiap orang Islam yang baligh dan berakal

Sumber:

  • Petikan daripada kuliah Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, pembimbing Majlis Ta’alim Darul Murtadza

 

%d bloggers like this: