The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Hukum Menghalau Peminta Sedekah

Penjelasan:

Bersedekah adalah amalan yang mulia. Suruhan berkaitan sedekah ini dinyatakan begitu banyak di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Amalan bersedekah ini bahkan diganjarkan dengan pahala yang banyak bagi mereka yang benar-benar ikhlas dalam melakukannya. Allah SWT berfirman:

مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّـهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً ۚ وَاللَّـهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.” (Surah al-Baqarah: 245)

Perbuatan menghalau peminta sedekah atau pengemis di premis-premis perniagaan adalah satu perkara yang menyalahi galakan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Ini kerana amalan bersedekah adalah satu amalan yang mulia dan terpuji. Adapun begitu, sekiranya seseorang itu tidak mahu bersedekah disebabkan tidak mampu atau apa jua alasan, maka tolakkan permintaan sedekah tersebut dengan sebaiknya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT berikut:

قَوْلٌ مَّعْرُوفٌ وَمَغْفِرَةٌ خَيْرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتْبَعُهَا أَذًى ۗ وَاللَّـهُ غَنِيٌّ حَلِيمٌ

Maksudnya“(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.” (Surah al-Baqarah: 263)

Syeikh al-Maraghi menafsirkan bahawa ucapan yang baik dan menolak permintaan orang yang meminta sedekah dengan cara baik serta menutupi perbuatan orang yang meminta adalah lebih baik dan lebih besar faedahnya bagi kamu daripada kamu memberikan sedekah tetapi kamu iringi dengan sikap-sikap yang menyakitkan perasaan. Ini disebabkan sekalipun orang yang meminta kecewa kerana harapannya ditolak, tetapi pada hakikatnya kamu telah menggembirakan hatinya, bahkan dia tidak berasa malu kerana terpaksa meminta. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/604)

Syeikh al-Maraghi menyebut janganlah kamu mengusir orang yang meminta-minta tetapi berilah sesuatu kalau ada. Kalua tidak, tolaklah dengan cara yang baik. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/ 7627)

Begitu juga bagi mereka yang mampu dan memberi sedekah kepada pengemis, mereka tidak boleh juga untuk mengungkit pemberian tersebut. Kebajikan yang dilakukan tersebut bukanlah dikira sebagai satu lesen atau alat dalam melakukan keburukan yang makhluk yang lain.

Rujukan:

  • Irsyad al-Fatwa (396), Mufti Wilayah Persekutuan
%d bloggers like this: