The Aqra

Dakwah Cara Mudah
5 Keutamaan Solat Sunat Dhuha

Solat Dhuha merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut untuk dilakukan oleh setiap muslim. Ia juga dikenali dengan nama solat al-Awwabin dan waktunya bermula setelah terbitnya matahari. Tambahan pula, Nabi S.A.W telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah R.A agar tidak meninggalkan solat Dhuha ini:

أَوْصَانِيْ خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: “Kekasihku (Muhammad SAW) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.” [Riwayat al-Bukhari (1880) dan Muslim (721)]

 

Adapun keutamaan solat sunat Dhuha itu antaranya ialah:

 

1) Allah menjamin rezeki yang cukup kepada hamba-Nya yang mempunyai masa untuk solat Dhuha. Diriwayatkan daripada Nu’aim bin Hammar bahawa ia berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepada-Ku dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu’.” [Hadis Riwayat Abu Dawud]

2) Sesungguhnya di dalam badan kita ini terdapat 360 sendi pinjaman Allah. Sendi inilah yang membolehkan kita bekerja dan menjalani kehidupan. Maka sendi-sendi ini ada hak-haknya yang perlu kita langsaikan. Dari Abu Dzar R.A, Rasulullah S.A.W bersabda; “Di setiap pagi ada kewajipan sedekah ke atas setiap sendi dari salah seorang kalian. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, amar makruf nahi mungkar adalah sedekah. Dan dapat memadai untuk semua itu dua rakaat yang dilakukan pada waktu Dhuha.” [Hadis Riwayat Muslim]

3) Diampunkan dosa terdahulu. Sesungguhnya Allah amat rindu kepada hamba-Nya yang ingin menyucikan dosa. Sebanyak mana pun dosa yang kita lakukan, pintu keampunan Allah tidak pernah tertutup. Solat Dhuha adalah antara pintu keampunan yang disediakan oleh Allah. Rasulullah S.A.W berkongsi kelebihan solat Dhuha yang kita lakukan di dalam sabdanya; “Barangsiapa yang menjaga Dhuhanya, nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.” [Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi]

4) Mendapat pahala Umrah. Daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.” [Sahih al-Targhib: 673]

5) Allah membina sebuah mahligai di dalam Syurga. Diriwayatkan dari Sayyidina Abu Darda R.A; Rasulullah S.A.W bersabda, “Barangsiapa yang mengerjakan 12 rakaat, maka Allah akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam Syurga. Allah sentiasa memberi kurniaan dan sedekah kepada hamba-hamba-Nya setiap siang dan malam, dan tiada kurniaan Allah yang lebih afdhal ke atas salah seorang hamba-hamba-Nya lebih dari taufiq untuk berzikir kepada-Nya.” [Hadis Riwayat Tabrani]

 


Menjadi satu kemestian bagi setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah agar melaksanakan solat sunat Dhuha pada setiap hari. Ini kerana, ia merupakan sebagai satu tanda kesyukuran kita kepada Allah terhadap segala nikmat-nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita termasuklah nikmat sendi-sendi di dalam badan kita ini. Akhirnya, marilah sama-sama kita cuba mengamalkan dan beristiqamah dalam melaksanakan solat sunat Dhuha ini di dalam kehidupan seharian kita walaupun cuma dua rakaat kerana itu lebih dikasihi oleh Allah sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

أَحَبُّ الْعَمَل إِلَى اللَّهِ تَعَالَى مَا دَاوَمَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ وَإِنْ قَل

Maksudnya: “Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT adalah yang berterusan dilakukan oleh pelakunya walaupun ia sedikit.” [Riwayat Muslim (783)]

 

%d bloggers like this: