The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Tidak Diberi Juga Merupakan Satu Pemberian

Dalam hadis dinyatakan, “Tidak seorang hamba itu berdoa kepada Allah melainkan akan diberikan oleh Allah.” Adapun pemberian itu diberikan oleh Allah dalam tiga bentuk:

  1. Diberi apa yang diminta
  2. Tidak diberi apa yang diminta tetapi diangkat musibah lain
  3. Tidak diberi yang pertama dan kedua, tetapi disimpan untuk di akhirat kelak

Doa merupakan sebahagian daripada senjata bagi orang yang beriman. Senjata yang paling kuat itu adalah doa. Doa ini memiliki keajaiban sehingga mampu mengubah hal yang mustahil menjadi tidak mustahil. Terkadang pemberian itu datang dalam bentuk apa yang kita minta, sebagai contoh kita minta supaya murah rezeki, sihat tubuh badan dan dipanjangkan umur. Terkadang, pemberian itu juga diberi oleh Allah dengan diangkatnya bala dan bencana. Yang kedua ini pun sebenarnya merupakan satu pemberian yang ramai manusia tidak sedar. Walaupun kita tidak pernah memintanya, tetapi Allah tetap memberinya.

Ditolak bala dan bencana ini hakikatnya adalah lebih besar dan bermakna bagi orang yang meminta pemberian daripada Allah walaupun tidak diberi. Seperti orang yang meminta nikmat serta rezeki dari Allah namun tidak diberi Allah, tetapi dalam masa yang sama Allah menyembuhkan penyakitnya yang dia tidak tahu akan menimpanya. Andai kata dia dapat rezeki serta nikmat yang dia minta daripada Allah tetapi penyakit itu kena juga pada dirinya, bukan kah penyakit itu lebih berbahaya daripada rezeki yang dia minta kepada Allah?

Maka salah satu pemberian itu adalah bilamana ditolak bala, diangkat musibah ataupun apa-apa sahaja yang tidak baik akan menimpa dia, tetapi dielakkan oleh Allah. Itu satu pemberian juga. Dan ada juga pemberian yang tidak ditolak bala, tidak pun diberi, namun disimpan oleh Allah nanti di akhirat. Sehinggakan di akhirat nanti bilamana dia masuk syurga, dia ternampak segala pemberian yang dia tidak sempat merasa ketika di dunia lalu dia bertanya kepada Allah, “Apakah ini wahai Allah?” Lalu dimaklumkan kepadanya kalau ini merupakan doa dia yang diminta ketika ada di dunia, tidak dikabulkan tetapi disimpan di akhirat.

Maka sebahagian daripada mereka terus mengatakan, “Alangkah beruntungnya andai doa aku semua tidak diterima di dunia.” Dikata begitu disebabkan kerana pemberian di akhirat jauh lebih besar daripada apa yang diberikan oleh Allah di dunia.

Sumber:

  • Pengajian bersama Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pembimbing Majlis Ta’lim Darul Murtadza
%d bloggers like this: