The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Waktu Mustajab Doa Ketika Hari Jumaat

Penjelasan:

Terdapat sebuah hadith yang sahih berkaitan hal tersebut. Hadith tersebut diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dan juga imam Muslim di dalam sahihnya dengan lafaz yang sedikit berbeza:

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ

Maksudnya: “Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah S.W.T, pasti Allah S.W.T akan memperkenankan permintaanya itu”. [Riwayat al-Bukhari (6400)]

Melihat kepada hadith di atas, kita memahami bahawa Allah S.W.T telah meletakkan satu tempoh masa yang sangat istimewa pada hari Jumaat iaitu setiap permintaan hamba-hambanya akan dikabulkan pada waktu tersebut.

Pendapat ulama’ dalam memahami hadith tersebut

Dalam masalah ini, terdapat beberapa pendapat yang dinyatakan oleh para ulama’ sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi berdasarkan pendapat al-Qadhi ketika mensyarahkan hadith ini di dalam sahih Muslim, antaranya:  [Lihat: al-Minhaj Syarah Muslim, 140/6]

  • Pertama: Waktunya adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesai solat. Pendapat ini disokong dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari.
  • Kedua: Waktunya adalah selepas asar sehingga terbenamnya matahari.
  • Ketiga: Waktunya adalah ketika solat didirikan sehingga ia selesai.
  • Keempat: Waktunya apabila imam keluar sehingga selesainya solat.

Pendapat Ulama’ Dalam Masalah Ini

Setelah melihat pendapat di atas, suka bagi kami untuk mendatangkan sedikit perbahasan yang dinyatakan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad dalam menentukan waktu yang mustajab ini:

Dalam masalah ini, terdapat dua pendapat yang kuat dan keduanya bersandar pada hadith Nabi S.A.W.

Pendapat Pertama: Waktu yang dimaksudkan adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat, berdasarkan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari:

أَسَمِعْتَ أَبَاكَ يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَأْنِ سَاعَةِ الْجُمُعَةِ شَيْئًا؟ قَالَ: نَعَمْ سَمِعْتُهُ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الْإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلَاةُ”.

Maksudnya: Adakah kamu pernah mendengar ayahmu meriwayatkan hadith daripada Rasulullah S.A.W berkenaan satu waktu (mustajab) pada hari Jumaat?”. “Ya, aku pernah mendengarnya”. Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Ia adalah di antara duduknya imam sehingga selesainya solat didirikan”. [Riwayat Muslim (853)]

Pendapat ini juga mempunyai beberapa lagi hadith yang menyokong pendapat bahawa waktu mustajab tersebut adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat.

Pendapat Kedua: Waktunya adalah selepas asar. Ini adalah pendapat yang lebih kuat berbanding dua pendapat yang kuat ini. Hujah bagi orang yang berpegang dengan pendapat ini adalah berdasarkan riwayat imam Ahmad. Daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ سَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيهَا خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَهِيَ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat satu waktu pada hari Jumaat apabila seorang hamba muslim meminta kepada Allah S.W.T akan perkara kebaikan pada waktu tersebut melainkan Allah S.W.T akan memberinya apa yang yang dimintanya itu, waktu tersebut adalah selepas asar”. [Riwayat Ahmad, (7688)]

Terdapat beberapa lagi hadith yang menunjukkan bahawa waktu yang mustajab pada hari Jumaat tersebut adalah selepas daripada asar. Tambahan pula, diriwayatkan Said bin Jubair daripada Ibn Abbas R.A telah berkata:

Waktu yang dimaksudkan pada hari Jumaat adalah antara solat asar sehingga terbenam matahari. Adapun Said bin Jubair apabila beliau menunaikan solat asar, beliau tidak akan bercakap dengan sesiapa sehingga terbenamnya matahari. Ini adalah pendapat sebahagian besar salaf dan pada pendapat ini mempunyai hadith yang banyak berbanding pendapat-pendapat yang lain[Lihat: Zad al-Ma’ad, 377/1]

Kesimpulan:

Setelah melihat perbahasan dan dalil-dalil yang dikemukan maka kami cenderung untuk memilih pendapat yang kedua iaitu waktu yang mustajab pada hari Jumaat adalah selepas asar sehinggalah terbenamnya matahari. Ini kerana, dalil-dalil yang dikemukan oleh pihak ini lebih banyak dan kuat. Selain itu juga, amalan para sahabat dan salaf juga menunjukkan bahawa mereka amat mementingkan waktu ini sepertimana yang dilakukan oleh Said bin Jubair R.A.

Rujukan:

  • Irsyad al-Hadith (126), Mufti Wilayah Persekutuan
%d bloggers like this: