The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Rukun Qauli | Ketika Solat Bacaan Al Fatihah Perlu Dibaca Dengan Lisan Bukannya Di Dalam Hati

Penjelasan:

Bacaan al-fatihah ketika solat adalah termasuk di antara rukun qauli (ucapan/perkataan) yang mana jika kita meninggalkannya maka tidak sah solat kita. Hendaklah bacaan al-fatihah itu dibaca dengan lisan iaitu dituturkan melalui lidah, bukannya di dalam hati. Kata Imam al Syafi’e:

وَلَا يُجْزِئُ الرَّجُل أَنْ يحْرِمَ لِلصَّلَاة بِقَلْبِهِ ، وَلَا يَقْرَأ بِقَلْبِهِ حَتَّى يُحَرِّكَ لِسَانَهُ

Maksudnya ; Tidak sah bagi seorang lelaki mengangkat takbiratul ihram untuk solat melalui hatinya, dan tidak sah pula dia membaca (al-fatihah) melalui hatinya sehinggalah dia menggerakkan lidahnya. (Mukhtasar al Buwaithi)

Pandangan Imam al-Syafi’e ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Khabbab R.A bahawa beliau ditanyakan:

بِأَىِّ شَىْءٍ كُنْتُمْ تَعْرِفُونَ قِرَاءَةَ رَسُولِ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ قَالَ بِاضْطِرَابِ لِحْيَتِهِ

Maksudnya : Dengan cara apakah kamu mengetahui bacaan Nabi S.A.W pada solat zohor dan asar? Kata Khabbab: Kami (mengetahui bacaan Nabi S.A.W) dari pergerakan janggut baginda. (Riwayat Ibn Majah)

Kesimpulan:

Kami menyatakan di sini, adalah tidak sah solat seseorang itu sekiranya bacaan al-fatihah dibaca melalui hati sahaja. Justeru, hendaklah bacaan al-fatihah dibaca dengan jelas melalui lidah sebatas pendengaran kita, dan tidak pula sehingga ke tahap mengganggu makmum yang bersebelahan. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.

Rujukan:

  • Al Kafi (662), Mufti Wilayah Persekutuan
%d bloggers like this: