The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Menegur Janganlah Sampai Menghina Tapi Biarlah Dengan Adab

Pada suatu ketika, Khalifah Harun ar-Rasyid atau Khalifah Makmun didatangi oleh seorang alim, seorang syeikh yang begitu keras. Syeikh tersebut melihat berlaku kemungkaran kepada Khalifah Makmun, maka dengan sebab itu dia datang menghadap dan menegur khalifah dengan kata-kata yang keras, dengan teguran yang kasar.

Maka khalifah tersebut mengatakan, “Wahai syeikh, tegurlah aku dengan baik. Sedangkan Allah apabila Dia menyuruh nabinya iaitu Nabi Musa A.S untuk menegur dan berdakwah kepada Firaun yang mengaku dirinya tuhan.

Khalifah menyambung lagi, “Allah mengatakan kepada Nabi Musa A.S, “Pergilah kepada Firaun, bercakaplah dengannya dengan percakapan yang lemah lembut, dengan perbicaraan yang baik, yang mulia dan yang terhormat. Mudah-mudahan dia menjadi orang yang bertaqwa atau takut kepada-Ku.“.”

Disini kita boleh lihat, Allah menyuruh Nabi Musa A.S untuk berdakwah kepada Firaun dengan perkataan yang lemah lembut. Bahkan Allah telah mengetahui secara azali bahawa Firaun tidak akan mengambil pengajaran dan pelajaran daripada Nabi Musa A.S, tidak akan menjadi orang yang takut kepada Allah. Jadi mengapa Allah menyuruh juga Nabi Musa A.S melakukannya? Kerana pengajarannya di sini ialah, Allah ingin mengajarkan adab dalam berdakwah.

Berbalik kepada kisah Khalifah Makmun dengan seorang syeikh tadi, khalifah mengatakan kepada syeikh tersebut, “Aku tidak lebih jahat daripada Firaun dan kamu tidak lebih baik daripada Nabi Musa A.S.” Syeikh tersebut terdiam mendengar kata-kata khalifah tersebut.

Daripada kisah ini, ulama mengatakan, seseorang yang menegur dengan kasar dan juga keras, ditakuti orang yang dia tegur itu akan semakin jauh daripada agama Allah S.W.T, semakin dia benci dengan agama. Maka kita janganlah menjadi penyebab sehingga orang lain menjadi semakin jauh daripada agama kerana teguran kita yang kasar dan juga watak kita yang keras.

Ulama juga mengatakan jika seseorang itu menegur dan menasihat dengan keras kepada orang lain, dikhuatiri orang itu akan lebih berdegil dengan kemungkaran yang dilakukannya. Sehinggakan teguran itu menyebabkan dia semakin kukuh dengan kemungkaran tersebut dan tidak punya rasa ingin meninggalkannya.

Apabila kita hendak berdakwah kepada orang lain, ingin menegur orang lain, atau ingin menasihati orang lain, maka bercakaplah dengan perkataan-perkataan yang baik, yang lemah lembut, yang berhikmah dan yang penuh dengan adab. Apabila hendak menyampaikan dengan lidah, maka sesuatu yang perlu diperhatikan adalah penyampaian tersebut mestilah dilakukan dengan penuh hikmah, beradab dan berakhlak.

Sumber:

  • Maulana Iqbal Zain al-Jauhari, Pembimbing Majlis Ta’lim Darul Mujtaba.
%d bloggers like this: