The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Menggunakan Telefon Bimbit Ketika Khutbah Jumaat? Jangan Buang Pahala Kita Kerananya.

Setiap orang memiliki telefon bimbit. Pada zaman sekarang ia sudah menjadi seperti keperluan asas bagi setiap manusia. Bagi penulis juga, ia merupakan satu tuntutan keperluan hidup bagi membantu memudahkan pekerjaan atau apa jua tugas. Dalam masa yang sama ia boleh membantu kita dari segi aplikasi-aplikasi yang disediakan seperti peringatan waktu sembahyang, arah kiblat, ilmu agama dan macam-macam lagi.

Dalam Islam, penggunaan telefon bimbit tidaklah menjadi satu kesalahan dengan syarat ia tidak digunakan ke arah perkara yang menyalahi hukum Syara’. Tapi apa yang merungsingkan penulis, sebahagian besar daripada kita sekarang seolah terlalu ghairah dengan penggunaan telefon bimbit sehinggakan ramai yang lalai dan menggunakannya tanpa mempedulikan masa serta waktu yang sesuai. Antara contoh situasi yang paling mudah salah satunya ialah, menggunakan telefon bimbi ketika menunaikan sembahyang Fardhu Jumaat.

Ketika khatib sedang membacakan khutbah Jumaat, akan kelihatan segelintir jemaah tanpa rasa segan silu menggunakan telefon bimbit untuk menghantar pesanan ringkas (SMS), berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial, melayari halaman internet, bermain ‘game’ dan sebagainya. Jadi apakah pandangan Syara‘ mengenai perkara ini?

Perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh diqiyaskan kepada maksud sebuah hadis sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawasanya Nabi S.A.W pernah bersabda (yang membawa maksud):

“Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan Sembahyang Fardhu Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia”. (Hadis riwayat Muslim)

Seperti yang kita fahami, dalam hadis di atas ni, Nabi S.A.W dengan tegas melarang kita daripada melakukan perbuatan yang sia-sia ataupun tiada faedah. Ia juga menunjukkan bahawa setiap perkataan yang menyibukkan seseorang itu daripada mendengar atau diam ketika khutbah termasuk dalam hukum yang sia-sia. Hal yang demikian kerana mengikut sunnah dan adab, afdhal (sebaik-baiknya) bagi sesiapa yang mendengar khutbah imam untuk diam dan dengar.

Jadi para ulama berpendapat bahawa larangan dalam hadis di atas tidak khusus hanya kepada bermain-main dengan anak-anak batu sahaja, bahkan kepada apa sahaja perbuatan yang mengganggu tumpuan ketika mendegar khutbah jumaat. Dalam hal ini, bermain telefon bimbit juga secara jelasnya, memang akan mengganggu kita dari memberi tumpuan dan khusyuk. Jadi elak lah dari bermain telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah kerana ia bertentangan dengan sunnah dan adab yang dituntut.

Kesimpulannya, melakukan perkara-perkara yang sia-sia adalah termasuk dalam perkara yang lagha (tiada faedah). Di samping itu, barangsiapa yang melakukan hal sedemikian solat Jumaatnya sah tetapi pahala Jumaatnya berkurang atau dia tidak mendapat kelebihan yang diingini dan pahala yang diharapkan.

Menunaikan solat Jumaat ini tidak lah lama mana, jadi apa lah salahnya kalau kita tinggalkan sebentar telefon bimbit kita dan memberi tumpuan terhadap khutbah yang disampaikan. Tinggalkan urusan duniawi sebentar dan luangkan lah masa pula untuk Allah. Jangan terlalu genggam dunia sampai tidak sedar akhirat dilepaskan. Akhir kata, penulis ingin berkongsi satu nasihat daripada Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al Makki,

“Apabila kita berada di dalam Masjid maka putuslah kita dengan dunia luar. Sama juga pemain bola tidak akan membawa telefon bimbit ke dalam padang bola, jadi tinggalkanlah telefon di rumah atau matikan terus ketika di masjid. Agar kita khusyuk dalam ibadah.”

Wallahu’alam.

%d bloggers like this: