The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Ibadah Korban | Adab Sembelihan Yang Ramai Terlepas Pandang

Raya Aidiladha tidak lama lagi akan tiba. Dan sempena dengan Aidiladha, maka akan ada satu amalan/ibadah khusus yang dituntut dalam Islam akan dilakukan iaitu Melaksanakan Ibadah Korban.

Tapi sayangnya pada hari ini apa yang penulis nampak, ramai dalam kalangan kita seolah melupakan atau mungkin terlepas pandang tentang satu perkara yang amat penting sebelum/ketika melakukan ibadah korban iaitu adab melakakukan sembelihan.

Jadi artikel ini ditulis tidak lain dan tidak bukan hanya kerana ingin berkongsi semula tentang adab sembelihan yang diajar dalam Islam. Moga-moga penulisan ini manfaatnya boleh dikongsi bersama. Kepada Allah jualah penulis mengharapkan kebaikan, rahmat, dan petunjuk yang berterusan.

1) Ihsan Terhadap Haiwan Sembelihan

Di antara cara dan sikap ihsan yang disunnahkan ketika melaksanakan penyembelihan haiwan adalah:

  • Tidak menajamkan pisau di hadapan haiwan yang akan disembelih.
  • Tidak menyembelih haiwan di hadapan haiwan-haiwan lain yang akan disembelih.
  • Tidak membawa haiwan ke tempat sembelihan dengan cara yang kasar.
  • Memilih cara paling mudah dan yang paling kurang menimbulkan rasa sakit.
Rasulullah S.A.W bersabda, yang membawa maksud:

Sesungguhnya Allah telah mewajibkan supaya sentiasa bersikap ihsan (baik) terhadap segala sesuatu. Apabila kamu hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang paling baik. Apabila kamu hendak menyembelih haiwan, maka sembelihlah dengan cara yang paling baik iaitu dengan menajamkan alat sembelihan dan hendaklah meletakkan haiwan dalam keadaan yang selesa.[HR Imam Muslim]

2) Menghadapkan Haiwan Sembelihan Ke Arah Kiblat

Disunnahkan agar haiwan dihadapkan ke arah kiblat ketika menyembelihnya. Hal ini dikaitkan dalam hadis di mana Rasulullah S.A.W ketika ingin menyembelih unta hadyu di Mina, baginda menghadapkan unta-unta tersebut ke arah kiblat. [HR Imam Malik dalam al-Muwaththa]

3) Membaringkan Haiwan 

Telah dikisahkan dalam satu hadis [HR Imam Muslim] daripada Saidatina Aisyah R.A, Rasulullah S.A.W pernah menyuruh supaya dibawakan kepadanya dua ekor kibas untuk dikorbankan. Lalu baginda mengatakan, “Wahai Aisyah, bawakan lah pisau ke sini. Asah lah pisau ini dengan batu (pengasah).”

Saidatina Aisyah pun melakukan apa yang disuruh baginda. Setelah diasah, baginda mengambil pisau tersebut dan mengambil kibas tadi lalu membaringkannya dan menyembelihnya.

4) Menyembelih Dengan Alat Yang Tajam

Hendaklah menggunakan pisau yang tajam. Atau dibolehkan juga menggunakan alatan seperti besi (logam), kayu, buluh serta alat-alat lain yang boleh ditajamkan.

Sama seperti dalam hadis di dalam poin nombor 1 di atas, Rasulullah S.A.W bersabda,

Sesungguhnya Allah telah mewajibkan supaya sentiasa bersikap ihsan (baik) terhadap segala sesuatu. Apabila kamu hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang paling baik. Apabila kamu hendak menyembelih haiwan, maka sembelihlah dengan cara yang paling baik iaitu dengan menajamkan alat sembelihan dan hendaklah meletakkan haiwan dalam keadaan yang selesa.[HR Imam Muslim]

5) Tidak Menyembelih Haiwan Sehingga Terputus Lehernya

Sesungguhnya dibenci atau makruh jikalau menyembelih haiwan sehingga terputus lehernya. Hal yang demikian adalah berdasarkan penjelasan daripada para sahabat serta ulama dari kalangan tabi’in apabila mereka membenci perbuatan tersebut dan ada dalam kalangan mereka enggan memakannya.

Ma’mar mengatakan, “Ketika imam az-Zuhri (ulama tabi’in) ditanya tentang seseorang yang menyembelih dengan menggunakan pedang sehingga leher haiwan tersebut putus. Lalu beliau mengatakan, “Buruk sungguh perbuatan tersebut.”. Beliau ditanya lagi, “Bolehkan dimakan daging haiwan tersebut?”. Beliau menjawab, “Boleh.”.” [Mushannaf ‘Abdurrazaq]

6) Menyebut Nama Allah Ketika Menyembelih

Ketika menyembelih haiwan, disunnahkan membaca basmallah dan takbir (Cara lafaz: Bismillahi Allahu Akbar) sambil berdoa agar ibadah korbannya diterima Allah.

Allah S.W.T berfirman dalam surah al-An’am ayat ke 121 yang membawa maksud, “Dan jangan lah kamu memakan haiwan-haiwan yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya. Sesungguhnya perbuatan tersebut adalah suatu kefasikan.”

Rasulullah S.A.W juga ada bersabda yang membawa maksud, “Setiap apa yang ditumpahkan darahnya dengan disebut nama Allah, maka makan lah.” [HR Imam Bukhari]

Berdasarkan ayat di atas, al-Hafiz Ibnu Kathir menyatakan, “Tidak halal sekiranya tidak disebut nama Allah ketika menyembelih haiwan walaupun yang menyembelih itu seorang muslim.” [Tafsir Ibnu Kathir]

Kata Ibnu ‘Abbas, “Tetapi sekiranya dia terlupa, maka tidak mengapa.” [Fathul Bari]

7) Memastikan Haiwan Benar-Benar Mati

Selepas proses penyembelihan selesai, maka hendak lah benar-benar dipastikan bahawa binatang yang disembelih itu telah mati. Hal yang demikian kerana sekiranya ada bahagian dari haiwan tersebut dipotong terlebih dahulu dan haiwan tersebut belum benar-benar mati, maka ia dikira sebagai bangkai.

Ia berdasarkan sabda Rasulullah dalam [HR Imam Ahmad] yang membawa maksud, “Apa-apa bahagian yang dipotong dari haiwan yang masih hidup, maka potongan tersebut adalah bangkai.”

Ibnu Kathir menyatakan dalam tafsirnya, “Jangan lah kamu mengambil daging unta setelah disembelih melainkan setelah benar-benar mati dan tidak bergerak lagi.”

Tuntasnya, adapun hikmah atau kebaikan disebalik adab sembelihan ini ialah:

  • Boleh mematikan binatang dengan cara yang cepat dan selamat.
  • Dapat mengeluarkan darah dan membersihkan daging darinya bagi menghindarkan penyakit.
  • Memastikan daging bersih dan bermutu.
  • Sebagai tanda penghormatan kepada makhluk-makhluk lain ciptaan Allah.
  • Membezakan antara daging halal dan haram.
  • Binatang yang disembelih tidak terseksa berbanding dengan cara lain.

Wallahu’alam.

%d bloggers like this: