The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Ujian itu adalah tanda bahawa Allah sayang pada kita

Ujian itu bukan bermakna Allah marah pada kita, tetapi kerana Allah sayang pada kita.

Hidup kita ni, kita selalu kalau nak sesuatu mesti kita nak juga. Kalau kita tak dapat, kita mula marah. Kadang-kadang tu pula kita tanya, “Kenapa orang buat macam ni pada aku?” “Kenapa macam ni.. kenapa macam tu.. kenapa tak orang lain.” Tapi ramai daripada kita tak sedar sebenarnya, setiap ujian orang tu berbeza. Ada orang diuji dalam kehidupan, dia dapat jodoh lambat. Ada orang diuji dalam kehidupan, dia dapat anak lambat. Semuanya Allah tetapkan berbeza.

Bilamana diuji pula, selalu manusia kata, “Tuhan marah aku.. Tuhan tak sayang aku.” Jangan lah berkata begitu. Ketahuilah bahawa semua musibah dalam dunia ini, cuma ada SATU jawapan sahaja disebaliknya. Bukan dua, bukan tiga, cuma satu. Apa jawapannya? Semua yang terjadi dalam kehidupan ini adalah kerana ALLAH SAYANG KITA. Kerana itu, jika kita tengok orang bersedih, susah, rasa kehilangan sesuatu, maka beritahu kat dia, semua yang terjadi ini tak ada banyak jawapan, tapi cuma satu. Ia kerana Allah sayang kita.

Sebab tu Nabi Muhammad S.A.W ajar kita, kalau kita susah, kita sedih, kita kena banyakkan bersabar. Allah beritahu dalam Quran, “Minta pertolongan dengan jalan sabar dan jalan solat.” Nabi S.A.W ajar manusia ni supaya bersangka baik. Kalau kita nak banding susah kita dengan Nabi, apalah sangat. Kalau kita nak banding tangisan kita dengan tangisan Nabi, apalah sangat yang kita lalui dalam hidup ini. Ada suatu kisah, Nabi S.A.W pernah sekali buat dakwah masuk satu khemah, dihalau keluar. Masuk khemah kedua, dihalau keluar lagi. Akhirnya ada satu khemah Nabi masuk, mereka terima Nabi. Nabi S.A.W sangat gembira. Bukan sebab Nabi nak orang terima Nabi, tapi Nabi nak orang masuk syurga, selamat dan dapat menjadi manusia mulia.

Namun selepas itu apa yang terjadi, dalam ketika Nabi baru nak seronok, datang ketua kaum halau Nabi S.A.W. Nabi pun berlalu pergi, Nabi naik unta. Orang-orang yang halau Nabi, mula cucuk unta Nabi. Lalu Nabi terjatuh, orang-orang tadi tabur pasir pada Nabi S.A.W. Ada sebahagian orang pula, tarik baju Nabi S.A.W sampai koyak. Bayangkan kalau kita yang kena. Mungkin tak mengapa lah kerana kita pun bukan siapa-siapa. Tapi ini Rasulullah S.A.W.

Bila Nabi balik terhuyung hayang, tak ada orang tolong Nabi lalu datang satu orang wanita yang sangat cantik, baik dan sempurna datang tolong Nabi. Siapa dia? Dia lah anak sulung Nabi, Saidatina Zainab. Saidatina Zainab bertanya, “Wahai ayah, siapa yang tergamak buat macam ni pada ayah? Siapa yang sampai hati buat macam ni pada ayah?
Maka Nabi pun jawab, “Wahai anakku, jangan kamu lihat apa yang kamu lihat hari ini. Dengar baik-baik. Sesungguhnya Islam ini, akan sampai pada setiap orang, sama ada di rumah mereka di bandar atau di kampung.” Nabi S.A.W nak semua orang dalam dunia ini bahagia masuk syurga.

Nabi tak pernah berdendam dengan sesiapa pun. Nabi menjadikan kesusahan dalam hidup ini satu proses untuk dekat pada Allah. Kerana itu, dalam hidup ini, kalau nak dapat sesuatu tu, kita kena banyakkan bersabar. Bersangka baik lah dengan Allah. Kemusnahan hidup seseorang itu ialah bilamana dia mula bersangka buruk pada keadaan/orang keliling dia. Sangka buruk pada mak ayah sendiri, sangka buruk pada suami pada isteri, pada anak-anak, pada masyarakat, pada manusia. Dan kemuncak kemusnahan hidup itu ialah bila dia mula sangka buruk pula pada Allah.

Ada orang, tak ada dua belah tangan dan kaki. Kerjanya cuci tandas. Malam-malam dia selalu doa dan dia menangis, sambil dia basuh tandas tu. Lalu bila ditanya tentang hidupnya, apa yang terjadi, dia menjawab dan tersenyum “Allah ni baik.. Allah ni baik..” Dia tak ada dua tangan dan dua kaki, tapi masih kata Allah itu baik. Kita ni, ada dua tangan ada dua kaki, macam-macam nikmat Allah bagi, tapi kita lupa nak ucap terima kasih kepada Allah S.W.T.

Sumber:

  • Al Fadhil Ustaz Ebit Lew
%d bloggers like this: