The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Tawakal. Apa hati kita bergantung hanya kepada Manusia atau kepada Allah?

KISAH SI ABID DAN REZEKI

Kisah seorang abid yang hidupnya sentiasa berpindah randah dari satu masjid ke satu masjid untuk beribadah kepada Allah.

Satu hari, si abid telah datang ke sebuah masjid yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam. Tinggallah si abid di masjid tersebut dan seperti biasa beliau menjalani rutinnya.

Setelah hampir sebulan di situ, kehadirannya mula menarik perhatian dan menjadi pertikaian oleh penduduk-penduduk kampung. Penduduk kampung mula merasa gelisah kerana si abid itu tidak bekerja untuk menampung perbelanjaan keperluan hidupnya.

Penduduk kampung menyoal si abid siapakah yang menampung perbelanjaan sehariannya. Si abid pun menjawab bahawa segala keperluan dan makanannya telah dikurniakan oleh Allah.

Maka kecohlah kampung tersebut kerana tidak percaya dan menyangkakan bahawa si abid tersebut telah menjadi gila. Setelah beberapa kali si abid disoal soalan yang sama, maka barulah si abid tersebut menjawab bahawa sebenarnya segala perbelanjaannya telah dibiayai oleh orang-orang yahudi.

Jawapannya ini telah menimbulkan kemarahan penduduk kampung tersebut dan mereka bertindak menghalau si abid tersebut. Maka si abid tersebut bersetuju untuk keluar dari kampung tersebut sambil berkata:

“Apabila aku mengatakan bahawa Allah yang mengurniakan rezeki kepada diriku, tidak ada siapa yang mahu percaya tetapi apabila aku mengatakan bahawa manusia yang memberikan rezeki, kamu mempercayainya kerana hati-hati kamu hanya bergantung kepada sesama manusia dan bukan lagi kepada Sang Pencipta.”

*Abid = Orang yang menghambakan diri kepada Allah dengan beribadat kepada-Nya

Pengajaran:

Inilah iktibar yang boleh kita ambil agar kita kembali bertawakal kepada Allah. Dan tawakal ini bukanlah untuk menunjukkan kesombongan, kebesaran diri dan kemegahan tetapi bagi menzahirkan sifat Allah yang Maha Besar.

Apatah lagi untuk bertujuan memutuskan silatur rahim dengan menjauhkan diri dari manusia serta melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah.

Sebagai contoh, konsep tawakal tidak pernah menghalang seorang yang bertawakal itu mengambil lesen kenderaan tetapi sebaliknya bahawa kerana beramal dengan konsep tawakal itulah seseorang itu sentiasa berusaha mentaati peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak yang berkuasa.

Maka fahamilah..

Sumber:

  • Darul Mujtaba, Pimpinan Maulana Iqbal Zain al-Jauhari
%d bloggers like this: