The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Ini EMPAT wasiat Nabi SAW kepada Saidatina Aisyah sebelum tidur

Saidatina Aisyah merupakan antara isteri Nabi SAW yang paling rapat dengan Nabi SAW. Dan beliau juga merupakan antara insan dan juga sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis dari Nabi SAW sendiri. Jadi banyaklah riwayat berkaitan hukum serta nasihat rumah tangga yang datang darinya.

Dalam kitab Durratun Nashihin, disebutkan sebuah riwayat bahawa pada suatu malam (sebelum tidur), Nabi SAW berwasiat kepada Aisyah dan berkata, “Wahai Aisyah, janganlah kamu tidur sebelum melakukan empat hal; sebelum mengkhatamkan Al-Quran, sebelum membuat para nabi memberi syafaat kelak di hari kiamat, sebelum membuat seluruh kaum muslimin redha dan sebelum melakukan ibadah haji dan umrah.

Lalu setelah menyampaikan wasiat tersebut, maka Nabi SAW pun menunaikan solat malamnya. Saidatina Aisyah yang pada ketika itu masih tertanya-tanya tentang maksud disebalik wasiat tersebut, menunggu Nabi SAW sehingga selesai solatnya, untuk mendapatkan jawapan. Baginya, empat perkara itu seolah tidak mampu dilakukan pada ketika hendak tidur,

Apabila telah selesai solat Nabi SAW, maka Saidatina Aisyah pun berkata, “Wahai Rasulullah, demi ayah dan ibuku, engkau perintahkan aku melakukan empat perkara yang saat ini tidak mampu aku melakukannya.

Mendengar kata-kata Aisyah ini, Nabi SAW kemudian tersenyum. Tak lama selepas itu, Nabi SAW pun menjelaskan, “Jika kamu membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali, maka pahalanya sama dengan mengkhatamkan Al-Quran. Jika kamu membaca selawat kepadaku dan para nabi sebelum aku, maka kami semua akan memberikan syafaat kepadamu di hari kiamat kelak. Jika kamu memohon keampunan buat seluruh kaum muslimin, maka mereka semua akan redha kepadamu. Dan jika kamu membaca ‘Subhanallah wal hamdulillah wala ilaha illahu wallahu akbar,’ maka kamu telah melakukan haji dan umrah.

Demikian lah wasiat Nabi SAW kepada Saidatina Aisyah. Dan begitulah juga hakikat sebenar disebalik wasiat tersebut. Daripada kisah ini, boleh lah kita ambil ikhtibar serta manfaat daripadanya. Sudah tentu wasiat tersebut tidak hanya diberikan kepada Saidatina Aisyah, malah ia juga diberikan kepada kita semua sebagai umat baginda Nabi SAW. Kasihnya Allah dan juga Nabi SAW kepada kita, diberikan amalan sebegini kepada kita untuk dilakukan. Amalan yang mudah tetapi ganjarannya teramat lah besar dan hebat.

Rebut lah pahala ini dan amalkan lah. Kongsi bersama ahli keluarga, sanak saudara kita juga kaum muslimin yang lain agar semua memperoleh fadhilatnya (kelebihan). Semoga kita semua diberikan kekuatan oleh Allah sehingga kita mampu melakukan empat wasiat Nabi SAW ini setiap kali menjelang tidur. Aamiin allahuma aamiin.

%d bloggers like this: