The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Hukum Hakam Dan Sunnah Ketika 1 Syawal Yang Boleh Kita Amalkan

Apabila masuknya maghrib hari ini, maka bertemu kita dengan bulan Syawal. InshaAllah dalam post ini, akan dikongsikan antara sunnah dan hukum hakam yang boleh kita amalkan untuk meraih pahala dan berkat pada 1 hari Syawal.

1) Takbir raya

Amat disunatkan – Jangan kita tinggalkan.

Sunat bertakbir bermula terbenam matahari pada malam Aidul Fitri hinggalah imam mula bersolat hari raya. Ia dilafazkan dengan suara yang nyaring sama ada di rumah, di jalan, di masjid dan di tempat awam sama ada bagi orang yang bermusafir atau bermukim (Nihayah al-Muhtaj 397/2, Tuhfah al-Muhtaj 51/3)

Takbir Raya Aidilfitri adalah takbir mursal bererti takde masa khusus untuk takbir. Boleh takbir bila-bila masa sehinggakan takbiratul ihram solat raya (atau waktu zuhur bagi yang tak solat raya)

2) Malam Raya adalah malam yang mustajab

Menurut Imam Syafie, malam yang mustajab doa ada lima (5), iaitu:

  • Malam Jumaat
  • Malam Hari Raya Aidilfitri
  • Malam Hari Raya Adha
  • Malam pertama Rejab
  • 5Malam Nisfu Sya’ban

Justeru, banyakkan berdoa, mendirikan solat malam dan hidupkan dengan takbir raya pada malam ini. Hidupkan malam raya bukan dengan main mercun semata.

3) Makan pada pagi 1 Syawal

Bangun subuh tu, pergi makan hatta sekeping roti pun. Ia adalah sunnah Nabi ﷺ. Ini adalah bukti ketaatan kepada hukum untuk tidak puasa pada 1 Syawal.

Sunnah ini dituntut sehinggakan ulama kata, kalau tengah lari ke masjid (untuk solat raya) tetap sunat untuk kunyah rotinya.

“Setiap orang dianjurkan untuk makan dan minum di hari itu (hari Idul Fitri) sebelumnya (sebelum solat raya) meski harus makan di jalan atau masjid. Yang demikian itu tidak merosak maruah karena uzur.” (Busyral Karim)

4) Pergi ke masjid ikut jalan beza dgn jalan pulang

Jika masjid itu dekat (dapat jalan kaki) maka lebih baik untuk jalan kaki. Disunatkan untuk bezakan jalan pergi masjid dan pulang dari masjid. Dan jalan ke masjid pula ikut jalan jauh (dapat banyak pahala jalan ke masjid), jalan dari masjid ikut jalan dekat. Ini supaya kita dapat bersalaman dengan saudara kita dalam perjalanan. Ambil jalan beza waktu pulang supaya kita dapat bertemu orang lain pula.

“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ di hari raya mengikuti satu jalan kemudian balik mengikuti jalan yang lain.” (Abu Daud)

5) Solat sunat hari raya

Sunat muakad (sunnah yang paling dituntut) untuk dirikan solat sunat hari raya kerana Rasulullah ﷺ tak pernah tinggalkan sejak ia disyariatkan. Sunat dibuat secara jemaah (di masjid adalah paling afdal) namun boleh dirikan sendiri.

Ulama menambah sunat bagi kaum muslimin, muslimat, baik yang bebas atau hamba, yang mukim atau musafir untuk ke masjid. Tidak disunatkan pula untuk kaum wanita muda yang cantik (untuk elak dari fitnah).

Perempuan yang haid juga digalakkan untuk ke masjid (di luar nya) untuk mendengar khutbah raya dan memeriahkan hari yang mulia itu.

“Hendaklah gadis remaja dan wanita yang haid keluar (ke musolla) menyaksikan kebaikan dan doa orang beriman. Wanita haid hendaklah berada jauh dari tempat solat.” (HR Imam Muslim)

6) Mendoakan saudaranya waktu bersalaman

Tidak salah untuk kita ucap “SHRMZDB” (malas nk taip) namun ikut sunnah sahabat adalah mereka akn ucapkan “Taqabbalallahu minna wa minkum”. Yang ertinya “semoga Allah menerima (puasa dan amal) dari kami dan (puasa dan amal) dari kalian.”

Dari Habib bin Umar Al Anshari, ayahnya bercerita kepadanya bahwa beliau bertemu dengan Watsilah radhiallahu ‘anhu ketika hari raya, maka ketika ia mengucapkan kepada Watsilah, “Taqabbalallahu minna wa minkum,” Watsilah menjawab, “Taqabbalallahu minna wa minkum.” (HR. Ad-Daruquthni dalam Mu’jam Al Kabir)

7) Memakai baju terbaik/cantik

Tidak semestinya baju baru. Baju cantik adalah sunnah untuk dipakai pada Hari Raya lagi-lagi untuk ke masjid. (Bagi wanita ada hukum lain untuk tidak tabarruj atau hias secara melampau)

Ini dinamakan sebagai bertajammul (memperbaguskan penampilan).

Al-Hafizh Ibnu Jarir rahimahullah berkata, “Ibnu Abid Dunya dan Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang shahih bahwa Ibnu Umar memiliki baju terbaik yang khusus dia pakai ketika dua hari raya.

Sumber:

  • Ustaz Mustaqim Ahmad (Serban Putih)
%d bloggers like this: