The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Sayangnya Allah pada Hamba-Nya Jadi Dia Menutup Aib Hamba-Nya. Jadi Mengapa Kita Membuka Aib Orang Lain Ataupun Diri Kita Sendiri?

Pada zaman Nabi Musa A.S berlaku kemarau panjang. Nabi Musa bersama 70 ribu umatnya melakukan solat istisqa iaitu solat memohon agar Allah menurunkan hujan. Akan tetapi hujan masih tidak turun. Umum mengetahui Nabi Musa digelar “Kalimullah” kerana boleh berbicara langsung dengan Allah. Nabi Musa berbicara dengan Allah;

“Ya Rabb, Engkau selalu memperkenankan doaku.”

Allah menjawab;

“Antara kalian itu terdapat seseorang yang bermaksiat selama 40 tahun dan tidak pernah bertaubat.”

Sejurus itu bertanya Nabi Musa akan para jemaah;

“Siapa antara kalian yang bermaksiat selama 40 tahun dan tidak pernah bertaubat. Diminta meninggalkan tempat ini kerana hujan tidak turun kerana orang ini.”

Orang tersebut berasa bersalah kerana menjadi sebab hujan tidak turun. Maka terdetik di dalam hatinya, jikalau dia bangun meninggalkan tempat itu, maka terbukalah di depan khalayak akan aib dirinya yang tersorok selama 40 tahun. Lalu dia pun mohon agar Allah mengampunkan dosanya dan menyesal di atas dosa-dosanya itu.

Tiba-tiba hujan pun mula turun. Nabi Musa kehairanan. Tiada yang mengaku dan meninggalkan tempat ini, tetapi Allah masih menurunkan hujan. Lalu Nabi Musa bertanya kepada Allah;

“Mengapa Engkau menurunkan hujan?”

Allah menjawab;

“Kerana telah bertaubat orang tersebut.”

Nabi Musa bertanya kepada Allah;

“Bolehkah aku ingin tahu siapakah orang itu?”

Allah menjawab;

“Selama 40 tahun Aku tidak pernah membuka aibnya, adakah Aku akan membuka aibnya setelah dia bertaubat kepadaKu.”

Pengajaran Yang Boleh Diambil Dari Kisah Ini

Salah satu nama Allah ialah as-Sattar iaitu Maha Menutup Keaiban dan Keburukan. Jika Allah sendiri tidak mendedahkan aib hamba-hambaNya maka janganlah kita mendedahkan aib saudara kita. Dan jangan pula mendedahkan aib kita sendiri yang selama ini Allah telah tutup dari pengetahuan orang lain sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita, kerana Allah memberi peluang kepada kita untuk mengetuk pintu taubat-Nya.

%d bloggers like this: