The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Betul Ke Malam Lailatul Qadar Berlaku Di 10 Malam Terakhir? Jom Baca Apa Kata Ulama

Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda menghidupkan malam tersebut dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.

Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud:

“Rasulullah ﷺ berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan malebihi usahanya daripada malam-malam lain.”

Lailatul qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan. Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatul qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”

Adapun mereka yang menentukan malam Lailatulqadar ada banyak pendapat, antaranya:

Pertama:

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa Lailatul qadar berlaku pada malam 27 Ramadan. Hujah mereka amat banyak, antaranya:

  • Mengikut Abu Ka’ab katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul qadar jatuh dalam bulan Ramadan, manakala Lailatul qadar pula jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kami tidak lagi berusaha mencarinya.”
  • Daripada riwayat Muawiyah yang bermaksud: “Bahawa Nabi ﷺ telah bersabda bahawa Lailatul qadar berlaku pada malam ke-27.”
  • Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yang kembalinya kepada Lailatul qadar.
  • Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari Lailatulqadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu Lailatulqadar pada malam yang ke-27.”

 

Kedua:

Pada malam 23 Ramadan. Inilah pendapat Imam Syafie. Inilah juga pendapat Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah dan al-Tahawi berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ لَيْلَةَ ثَلَاثَ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada malam 23 Ramadan.”

Ketiga:

Pada malam 21 Ramadan. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Shafie. Dia berdalilkan pada riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

اُطْلُبُوهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلَاثِ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Tuntutlah malam 17, 21 dan 23 Ramadan.”

 

Keempat:

Pada malam 24 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Baginda ﷺ bersabda:

اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Carilah malam Lailatul qadar pada malam 24 Ramadan.”

Kelima:

Pada malam akhir Ramadan. Hal ini berdasarkan hadis Muawiyah RA bahawa Nabi ﷺ bersabda:

اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ آخِرِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانِ

Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadan.”

Sumber:

  • Bayan Linnas, Mufti Wilayah Persekutuan
%d bloggers like this: