The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Boleh Ke Tulis Ayat Quran Dalam Rumi? Ada Dua Pandangan. Jom Fahamkan Betul-Betul.

Penjelasan:

Ulama Mazhab Syafi’i berbeza pandangan tentang hukum menulis al-Quran dengan tulisan selain Arab.

Menurut pendapat Imam al-Zarkasyi dan Syeikh Syihab al-Ramli, menulis al-Quran dengan tulisan selain Arab hukumnya adalah harus bertujuan untuk membantu pembaca yang bukan Arab agar dapat menyebut kalimah al-Quran dengan sebutan Arab. Hal ini kerana, penulisan itu menunjukkan kepada lafaznya yang berbahasa Arab dan tiada padanya sebarang perubahan bagi al-Quran.

Justeru, pendapat inilah yang telah dipegang oleh sebahagian ulama mutaakkhirin seperti Syeikh Ibn Qasim al-‘Abbadi, Syeikh Ali al-Syabramallisi, Syeikh al-Qalyubi, Syeikh al-Birmawi, Syeikh Sulaiman al-Bujairimi, Syeikh Sulaiman al-Jamal dan Syeikh al-Syarwani.

Sehubungan itu, haram menyentuh dan membawanya ketika berhadas sekalipun ditulis dengan tulisan selain Arab.

Manakala ikut pendapat Imam al-Nawawi, Imam al-Suyuti dan Syeikh Ibn Hajar, hukumnya menulis al-Quran dengan tulisan selain Arab adalah haram. Hal ini kerana, tulisan tersebut dikira sebagai suatu campur tangan dalam lafaz al-Quran yang mu’jiz (seni bahasa yang hebat tidak terkalah) sehingga boleh menyebabkan berlaku al-tahaddi (suatu cubaan mencabar al-Quran).

Justeru, pendapat inilah yang telah dipilih oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-24 yang bersidang pada 5-6 Jun 1989 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2016-1437H, iaitu haram menulis al-Quran dengan tulisan selain Arab kecuali untuk tujuan menarik orang membaca al-Quran dan tujuan pembelajaran (تعليم) dalam jangka masa sementara. Namun, tulisan itu mestilah berpandukan penulisan akademik (petikan/phrasa) yang menggunakan tanda transliterasi al-Quran yang betul serta mengikut kaedah yang standard. Selain itu, teks/nas al-Quran juga hendaklah disertakan.

Wallahu a’lam.

Sumber:

  • Koleksi Q&A Al Fadhil Ustaz Alyasak (اليسع)
%d bloggers like this: