The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Tarawih. Afdhal Buat Di Rumah Atau Masjid?

Penjelasan:

Tiadalah perselisihan mengatakan solat Fardhu itu afdhalnya dilakukan secara berjemaah di Masjid sebagai tanda kebaikan dan penerimaan amalan bagi umat Islam. Dan juga tidak ada perselisihan yang mengatakan solat Sunat itu afdhalnya di lakukan di rumah-rumah sebagaimana sabda Nabi S.A.W:

“Sebaik-baik solat seseorang itu adalah di rumahnya melainkan solat Fardhu.”

Terdapat solat sunat yang di sunatkan berjemaah antaranya:

  • Solat Gerhana Matahari atau Bulan .
  • Solat Hari Raya AidilFitri dan Aidil Adha
  • Solat Istisqha’ (minta hujan)

Adapun solat Tarawih sekarang ini kita lihat ia banyak dilakukan di masjid-masjid dan surau dan dihadiri oleh jemaah lelaki dan perempuan dengan begitu meriah sehingga zahirnya syiar Islam yang agung ini di bulan Ramadan, tetapi di sana terdapat beberapa pandapat dan pandangan ulama-ulama Mazhab :

  1. Diriwayatkan dari Imam Malik R.A dan Imam Syafie R.A bahawa afdhal dilakukan di rumah.
  2. Adapun di sisi Imam Abu Hanifah R.A dan Imam Ahmad R.A mereka meriwayatkan bahawa afdhal dilakukan di masjid, begitu juga kebanyakan Ulama Malikiah dan Ulama As Syafi’iah berpandangan yang sama juga.

Perselisihan ulama-ulama ini berlaku dalam masaalah ini adalah kerana:

  • Baginda hanya melakukan pada beberapa malam secara berjemaah dan kemudian baginda menyuruh sahabat solat di rumah mereka masing-masing.
  • Baginda menerangkan hikmahnya sebagai rahmat kepada ummat kerana bimbang di hukumkan fardhu solat Tarawih itu.
  • Terdapat banyak hadis pada menyatakan kelebihan solat di rumah maka ada yang mengikut saranan Nabi S.A.W (solat sunat di rumah afdhal) seperti Imam Syafie dan Imam Malik.
  • Saidina Umar pula kumpulkan manusia di atas imam yang satu. Maka ada yang mengikut saranan Saidina Umar (berjemaah di bawah satu imam) seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad.
  • Ada golongan ketiga seperti Imam Lais Bin Saad, Imam Thahawi mengatakan bahawasanya solat Tarawih afdhal dilakukan di rumah dengan syarat masjid tidak kosong kalau dia solat di rumah.

Terdapat pandangan yang baik dari Ulama’ Syafie iaitu solat Tarawih boleh dilakukan di rumah dengan empat (4) Syarat:

  1. Dia itu seorang yang Hafiz Al Quran (hafal banyak ayat Al Quran)
  2. Tidak takut dia akan malas, atau akan meninggalkannya atau akan buat bermudah-mudah dengannya dengan melengah-lengahkannya sehingga tertinggal.
  3. Bahawa Masjid tidak kosong sekiranya dia solat di rumah.
  4. Bahawa dia bukan orang yang akan mengambil manfaat darinya oleh orang-orang masjid (maknanya dia bukan tok imam atau orang penting yang menjadi keperluan masyarakat ketika solat tarawikh itu)

Sekiranya cukup syarat di atas maka solatnya di rumah itu afdhal.

Adapun kaum Wanita tidak menjadi masaalah kalau mereka solat di Masjid melainkan:

  • Ada yang boleh temankan mereka solat bersama di rumah sama ada lelaki atau perempuan yang boleh jadi Imam bagi mereka yang baik bacaannya, maka solat di rumah adalah lebih afdhal, seperti diimamkan oleh anaknya yang hafal Al Quran.
  • Syarat tidak berlaku fitnah dengan kehadiran mereka di masjid.
  • Tidak sepatutnya kaum lelaki menghalang mereka untuk hadir jamaah .

Sumber:

  • Bicara Fiqh Puasa, Al Fadhil Ustaz (Baba) Long Idris
%d bloggers like this: