The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Apakah Kelebihan Yang Terdapat Pada Bulan Sha’ban?

Penjelasan:

Bulan Sya’ban adalah bulan yang datang antara bulan Rejab dan bulan Ramadhan. Persoalannya, adakah terdapat hadith-hadith yang menyebut akan kelebihan tersebut ataupun ia hanyalah seperti bulan-bulan yang lain. Di sini kami cuba untuk menyatakan beberapa hadith yang menceritakan akan kelebihan bulan Sya’ban ini.

 Dalil:

Matan Hadith

Antara hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan bulan Sya’ban berdasarkan hadith yang sahih adalah:

1. Daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata:

Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam bulan Sya’ban?. Nabi SAW bersabda:

قَالَ : “ذلِكَ شَهْرٌ يَغفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ ، وَهُوَ شَهْرٌ تُرفَعُ فِيْهِ الأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ العَالَمِيْنَ ، فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عمَلِيْ وأَنَا صَائِمٌ”.

Maksudnya: “Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadhan. Bulan tersebut adalah bulan bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (Allah SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa”. [Riwayat al-Nasa’ie, Kitab Puasa, Bab Puasa Nabi SAW, no. Hadith 2317]

2. Hadith daripada Aisyah RA, beliau berkata:

كانَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يصومُ حتَّى نقولَ لا يُفطِرُ ويُفطِرُ حتَّى نقولَ لا يصومُ وما رأيتُ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ استَكملَ صيامَ شَهرٍ قطُّ إلَّا رمضانَ وما رأيتُه في شَهرٍ أكثرَ صيامًا منهُ في شعبانَ

Maksudnya: “Baginda SAW biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Dan baginda SAW apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Dan aku tidak melihat baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda SAW berpuasa pada bulan Sya’ban”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 1833 dan Muslim no. Hadith 1956]

Makna Hadith

1. Di dalam hadith pertama yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid menunjukkan bahawa Nabi SAW lebih gemar amalannya diangkat ketika baginda SAW dalam keadaan berpuasa. Tambahan pula, bulan Sya’ban adalah bulan yang sering manusia lalai disebabkan bulan ini terletak antara dua bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan dan juga salah satu daripada bulan Haram (Rejab). Telah berkata Ibn al-Qayyim RA:

“Amalan diangkat dan dibentangkan kepada Allah SWT: Amalan tahunan diangkat pada bulan Sya’ban sebagaimana dikhabarkan oleh Baginda SAW dan amalan mingguan pula diangkat pada hari Isnin dan Khamis”. [Lihat: Hasyiah Ibn al-Qayyim bagi Sunan Abu Daud, 12:313]

Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa kita digalakkan untuk beramal dan melakukan ketaatan pada waktu manusia sedang lalai. Ini kerana, perbuatan ini amat disukai dan dikasihi oleh Allah SWT.

2. Hadith kedua yang diriwayatkan oleh Aisyah RA menunjukkan bahawa Rasulullah SAW banyak berpuasa di dalam bulan Sya’ban. Walaubagaimanapun, terdapat sebuah riwayat yang dilihat seolah-olah bercanggah dengan riwayat ini. Di dalam sahih Muslim:

كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إلَّا قَلِيْلًا

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW berpuasa pada bulan Sya’ban melainkan sedikit”. [Riwayat Muslim, no. Hadith:1957]

Berdasarkan kedua riwayat ini, para ulama’ telah berbeza pendapat dalam memahami riwayat ini. Untuk itu, para ulama’ hadith mempunyai beberapa kaedah untuk berinteraksi dengan riwayat hadith yang dilihat bercanggah antara satu sama lain. Pertamanya dengan cara cuba “menghimpunkan antara dua hadith tersebut”.

Jika kaedah ini tidak berhasil, maka para ulama’ hadith akan menggunakan kaedah yang kedua iaitu dengan melihat pada “Nasikh dan Mansukh”. Jika masih tidak berhasil, maka mereka akan menggunakan kaedah yang ketiga iaitu “Tarjih” dan yang terakhir adalah “Tawaqquf (tinggalkan)” jika kaedah yang ketiga juga tidak berhasil.

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa Rasulullah SAW berpuasa Sya’ban secara penuh pada sebahagian tahun sahaja (bukan setiap tahun) dan pada sebahagian tahun lain baginda SAW berpuasa kecuali sedikit sahaja (yang tidak berpuasa). Pendapat ini adalah yang dipilih oleh Syekh Ibn Baz RA. [Lihat: Majmu’ al-Fatawa Ibn Baz, 15:416]

Pendapat kedua mengatakan bahawa Nabi SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban kecuali di bulan Ramadhan sahaja. Sementara hadith yang mengatakan bahawa Nabi SAW berpuasa pada bulan Sya’ban melainkan sedikit (yang tidak berpuasa), boleh difahami dengan mengatakan bahawa dari sudut bahasa kalau seseorang yang sering berpuasa dibolehkan untuk mengatakan dia berpuasa sebulan penuh disebabkan kelazimannya akan perbuatan tersebut ataupun dia telah berpuasa sebahagian besar daripada bulan tersebut.

Tarjih

Setelah melihat kepada dua pendapat ini, maka kami cederung untuk mengatakan bahawa pendapat yang kedua adalah lebih tepat iaitu yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban kecuali di bulan Ramadhan sahaja, berdasarakan sebuah riwayat hadith yang sahih daripada Imam Muslim RA:

وَلَا صَامَ شَهْرًا كَامِلًا غَيْرَ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Dan tidak berpuasa Rasulullah SAW sebulan penuh melainkan di bulan Ramadhan”. [Riwayat Muslim, no. Hadith:1233]

Penutup

Kesimpulannya, kita dituntut untuk berpuasa di bulan Sya’ban berdasarkan hadith yang kami nyatakan di atas. Ini merupakan persediaan bagi kita dalam menghadapi bulan Ramadhan. Antara hikmah kita diminta untuk banyak berpuasa pada bulan ini adalah berdasarkan hadith pertama yang kami nyatakan iaitu pada bulan ini amalan tahunan kita diangkat oleh Malaikat kepada Allah SWT dan juga kita dituntut untuk sentiasa memperbanyakkan amalan soleh serta memohon keampunan kepada Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT menempatkan kita dalam kalangan orang yang beriman dan juga orang-orang yang sentiasa melakukan ketaatan kepada-Nya. Amin

Sumber

  • Irsyad al-Hadith Siri ke-52: Kelebihan Bulan Sya’ban. Mufti Wilayah Persekutuan
%d bloggers like this: