The Aqra

Dakwah Cara Mudah
Hakikat Ukuran Kekayaan Itu Adalah Di Dalam Hati

Diceritakan oleh Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid حفظه الله,

Pada suatu ketika, ada seorang anak murid yang belajar dengan gurunya yang miskin tak punya harta. Rumahnya pun kecil. Setiap hari kalau gurunya hendak makan, maka dia akan pergi ke sungai dan memancing. Jika dapat ikan, baru dia makan. Begitulah rutin gurunya setiap hari.

Suatu hari, gurunya memintanya ke bandar untuk bertemu dengan abangnya bagi menyampaikan satu hajat. Maka si anak murid itu turutinya lalu ke bandar. Setibanya di alamat yang diberikan, didapati rumah abang gurunya itu teramat lah besar.

Si anak murid itu berjumpa dengan abang gurunya itu dan sampaikan hajat gurunya,

Wahai tuan, saya diminta oleh guru saya untuk memohon kepada tuan menasihati guru saya.

Lalu kata si abang itu,

Beritahu kepada adik saya, jangan bergantung cinta pada dunia.

Kata anak murid itu di dalam hatinya,

Tak silap kah dia bagi nasihat, bukan kah nasihat itu untuk dia sendiri.

Tidak terungkap di hadapan abang gurunya itu kerana hormat padanya. Lalu si anak murid itu pulang ke kampung dengan sedikit rasa geram dan berjumpa semula dengan gurunya lalu disampaikan pesanan abangnya itu. Gurunya pun menangis setelah mendengarnya. Si anak murid bertambah pelik.

Keesokan harinya, si anak murid bertemu dan bertanya pada gurunya,

Guru, apa disebalik apa yang berlaku?

Kata gurunya,

Wahai anak muridku, abangku tidak cinta dunia, dunia yang cinta kepada dia sehingga mengejar kepada dia. Harta abangku kalau dalam sekelip mata itu lenyap daripada biliknya, tidak berubah kekayaan hatinya dengan Allah. Tapi aku setiap hari berfikir tergantung kepada esok kalau nak memancing, dapat ikan atau tidak.

Di penghujung kisah ini, Habibana berkata dan berpesan, ukuran kekayaan itu adalah di dalam hati, bukan kekayaan yang sebenar atau dengan banyaknya harta yang disimpan.

%d bloggers like this: